Kertas Cadangan Memakmurkan Masjid: Klinik Undang-Undang

Salam,

Nota: Pada awal bulan ini (Julai 2008) saya telah membuat satu kertas cadangan untuk memakmurkan masjid dan kertas cadangan tersebut telah pun dihantar kepada Pengarah JAWI melalui seorang kenalan rapat. Saya berharap kertas cadangan tersebut boleh diterimapakai dan seterusnya diimplimentasi secepat mungkin. Saya tidak mempunyai masalah berkongsi dengan umum kertas cadangan tersebut maka oleh itu saya poskan di sini kandungan kertas tersebut. Para peguam Muslim, Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri atau mana-mana pihak berkenaan yang mempunyai kuasa atau pengaruh diseluruh Malaysia bebas menggunapakai, menambahbaik kertas cadangan dibawah ini dan seterusnya mengimplimentasinya demi kebaikan bersama umat Islam di dalam Malaysia. Saya sedia membantu untuk memberi maklumat lebih lanjut atau membuat apa-apa presentasi jika perlu. Cuma satu permintaan saya ialah janganlah hendaknya kertas ini digunakan untuk kepentingan peribadi.

Pendahuluan

Kertas cadangan ini dibuat dan disediakan oleh Kamarul Irzuan Bin Busu Piah, Peguambela & Peguamcara daripada Tetuan Irzuan yang beralamat di No. 82-3B, Jalan PJU 1/3B, Sunwaymas Commercial Centre, 47301 Petaling Jaya, Selangor. No. H/P: 012-5236161. Kertas ini dibuat secara ringkas dan memerlukan suatu presentasi untuk maklumat lanjut dan terperinci cadangan. En. Kamarul bersedia jika diberi peluang untuk membuat presentasi pada bila-bila masa yang sesuai dipihak tuan.

Ringkasan Cadangan

Dalam usaha kerajaan Malaysia dan pihak Jabatan Agama untuk menjadikan masjid makmur dan bukan hanya sekadar tempat beribadah, pihak Jabatan telah setelah sekian lama mendorong Jawatankuasa-Jawatankuasa Masjid dan masyarakat setempat mengunakan masjid sepenuhnya sebagaimana masjid telah dimakmurkan dizaman Rasulullah dahulu yang mana masjid bukan sahaja telah menjadi tempat beribadat tetapi juga pusat pentadbiran bahkan pusat merancang strategi peperangan. Pelbagai program telah dilaksanakan termasuklah program khidmat nasihat sosial.

Maka berlandaskan kehendak tersebut, saya ingin mencadangkan satu lagi program alternatif atau tambahan diadakan di masjid yang mana program ini akan membantu memakmurkan masjid dan membawa kebaikan kepada banyak pihak terutamanya masyarakat Islam setempat. Program yang dicadangkan ialah klinik perundangan di setiap masjid di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, untuk permulaan. Jika program ini berjaya ianya boleh diteruskan ke kawasan-kawasan lain begitulah juga dalam bidang-bidang yang lain seperti perubatan dan sebagainya.

Apa itu Klinik Perundangan

Secara ringkasnya Klinik Perundangan seperti semua pihak sedia maklum ialah dimana suatu perkhidmatan khidmat nasihat yang diberi oleh seorang peguam yang bertauliah kepada orang awam secara percuma tanpa dikenakan apa-apa bayaran langsung, peguam yang member khidmat nasihat bukanlah bertindak bagi mana-mana orang awam tersebut dan tidak mewakili mereka dalam mengendalikan kes atau permasalahan perundangan mereka.

Peguam tersebut juga tidak dibenarkan untuk membuat promosi diri atau menawarkan perkhidmatannya semasa menjalankan klinik perundangan tersebut. Mengikut tatacara amalan beretika Majlis Peguam Malaysia. Ringkasnya perkhidmatan adalah sekadar khidmat nasihat secara pro bono dan orang awam yang menerima nasihat bebas melantik atau merujuk semula masalah mereka kepada peguam atau pihak lain.

Tidak wujud ikatan peguamcara dan anakguam sepanjang proses khidmat nasihat dijalankan, namun peguam masih tertakluk kepada etika kerahsiaan dan lain-lain. Dalam masa yang sama, secara umum orang awam yang menerima nasihat juga tidak boleh menuntut pampasan atau sebagainya atas kesan nasihat professional yang diberi oleh peguam.

Bidang perundangan khidmat nasihat ini hendaklah bukan terhad kepada permasalahan undang-undang syariah semata-mata tetapi juga berkenaan apa sahaja didalam bidang ilmu atau pengetahuan peguam terbabit. Sebagai contoh undang-undang syarikat, perniagaan, koperasi, jenayah, litigasi, kontrak dan lain-lain.

Cadangan Perlaksanaan atau Modus Operandi

Saya mencadangkan program dilaksanakan dalam dua fasa.

Fasa pertama:

  • Kebenaran dan persetujuan pihak berkuasa agama di peringkat wilayah persekutuan atau negeri.
    • Bagi melancarkan program ini dan untuk tidak disalahanggap oleh mana-mana pihak, suatu kebenaran bertulis khas atau pengindorsan daripada pihak Jabatan sangat penting.
    • Seterusnya, untuk mengelak masalah birokrasi dan kurang sambutan dipihak Jawatankuasa Masjid, pihak Jabatan bolehlah mengeluarkan arahan perlaksanaan program kepada masjid-masjid di dalam kawasan bidangkuasanya.
    • Walau apapun, asal sahaja para peguam yang menyertai program ini boleh berkomunikasi dengan baik diperingkat Jawatankuasa Masjid saya percaya ianya tidak akan menimbulkan masalah atau prasangka buruk bahkan akan diterima dengan baik oleh pihak masjid dan masyarakat setempat.
  • Pengumpulan data para peguam professional beragama Islam di dalam wilayah persekutuan atau negeri.
    • Setakat hari ini tidak ada pernah satu usaha dijalankan oleh mana-mana pihak sepanjang pengetahuan saya tentang pengumpulan data para peguam muslim di setiap kawasan kariah masjid.
    • Data-data tentang alamat boleh diperolehi daripada pihak masjlis peguam atau daridapa kawasan kariah masjid itu sendiri.
    • Undangan kepada para peguam didalam satu-satu kawasan kariah masjid juga boleh dibuat diperingkat masjid.
    • Saya mencadangkan bahawa bagi satu-satu masjid biarlah ianya tidak terhad kepada seorang peguam sahaja untuk menyertai program ini, lebih ramai lebih baik. Alasan saya: kita sedia maklum para peguam mempunyai jadual kerja yang sangat ketat, dengan mengambil penyertaan lebih ramai peguam maka sesi-sesi khidmat undang-undang ini boleh dibuat silih berganti atau dijalankan serentak (jika sambutan menggalakan) atau dijalankan mengikut jadual atau hari masing-masing di masjid.
  • Kerjasama pihak-pihak lain seperti JKKK atau Ketua Kawasan. Ini adalah kerana sudah menjadi lumrah atau setidak-tidaknya dalam kebanyakkan tempat anggota JKKK dan Ketua Kawasan adalah juga Ahli Jawatankuasa Masjid atau sekurang-kurang orang mempunyai suara di dalam segala perjalanan aktiviti masjid. Saya tidak mahu melihat niat baik program ini disalahertikan oleh pihak bertanggungjawab lain kerana secara jujur para peguam boleh dilihat sebagai seorang yang mampu member saingan kepada pihak bertanggungjawab sedia ada.
  • Kerjasama daripada wakil rakyat setempat. Perlu saya nyatakan bahawa, saya sekadar membawa idea walaupun saya secara peribadi tidak berminat melibatkan pihak wakil rakyat atau parti politik kerana banyak isu-isu yang tidak sepatutnya akan timbul dan adalah amat merugikan jika masjid pula menjadi medan berpolitik malah lebih teruk lagi jika ianya disampaikan melalui program Klinik Perundangan ini.
  • Saya faham ada dikalangan para peguam muslim juga terlibat secara aktif di dalam sesebuah parti politik, saya berharap agar para peguam yang menyertai program ini dapat bertindak professional dan menumpukan kepada permasalahan yang dikemukakan sahaja. Bagi menjamin ini, mungkin pihak Jabatan boleh memberi ketetapan Arahan Khas kepada para peguam yang ingin menyertai program ini dan juga kepada orang awam yang mengemukakan soalan.
  • Akhirnya, perlaksanaan program ini seharusnya tidak menunggu sehingga semua masjid mempunyai wakil peguam sukarela sebelum dimulakan, kawasan-kawasan kariah yang sudah bersedia dengan para peguam sukarelanya hendaklah dibenarkan dimulakan terlebih dahulu.
  • Cadangan: bagi menarik minat para peguam dan orang awam menyertai program ini hendaklah dihebahkan melalui media-media tempatan dan internet. Pihak Jabatan boleh membuat kenyataan akhbar tentang perkhidmatan masjid terkini.


 

Fasa Kedua:

  • Setelah Fasa Pertama dilaksanakan maka bolehlah dimulakan fasa kedua ini.
  • Saya mengulangi sekali lagi tentang kepentingan hebahan bagi memberi tahu masyarakat setempat tentang perkhidmatan baru ini.
  • Pihak jawatankuasa masjid (samada melalui Jabatan atau tidak) bolehlah menetapkan tarikh dan waktu yang sesuai dengan para peguam sukarela ini mengikut kesesuaian masing-masing untuk menjalankan klinik undangundang ini di masjid masing-masing.
  • Perjalanan Klinik Prundangan ini, bagi saya tidaklah perlu dijalankan secara formal (melainkan jika pihak Jabatan berhasrat sedemikian). Ianya boleh dan sesuai juga dijalankan selepas waktu solat selama 1 sehingga 2 jam bagi satu-satu sessi, terpulanglah kepada kehendak masyarakat dan kemampuan para peguam sukarela.
  • Tempat juga tidak perlu disediakan suatu bilik khas bahkan memadai dengan diperkarangan masjid ataupun (jika bersesuaian dari segi hukum syarak, sila beri nasihat) di dalam masjid itu sendiri sambil masing-masing duduk dan peguam diberikan sebuah meja kecil untuk menulis. Alasan saya: selagi ianya menjadi suatu yang tidak formal, masyarakat akan lebih selesa dan membuang jauh-jauh perasaan benteng bahawa para peguam sukar didekati atau apa-apa presepsi negetif lain dan dengan itu mereka lebih mudah dan selesa menyampaikan masalah. Rumah Allah itu juga akan menjadi suatu tempat dimana masyarat selesa berada di dalamnya.
  • Satu-satu sesi khidmat nasihat seseorang itu hendaklah tidak melebih 15 minit demi menjimatkan masa, ini adalah kerana nasihat hanya sekadar nasihat umum perundangan bukannya pengendalian brif kes. Di samping dapat memberi peluang kepada orang lain. Mereka bolehlah membuat temujanji kedua atau seterusnya di masa akan datang di sesi lain, jika perlu.
  • Saya juga mencadangkan hendaklah disediakan suatu borang ringkas temujanji dan kotak temujanji disediakan di dalam masjid-masjid, borang ini boleh digunakan untuk menulis nama dan topic permasalahan yang akan dikemukakan. Borang ini hendaklah ditinggalkan didalam kotak tadi supaya ianya boleh dikutip oleh para peguam atau AJK masjid untuk diserahkan kepada peguam supaya beliau tahu berapa orang yang akan menunggu beliau untuk sesi akan datang (untuk beliau memperuntukkan masa beliau) dan juga tentang topik permasalahan yang akan ditanya supaya beliau boleh menyediakan kes dengan lebih baik.
  • Akhirnya keluarkan suatu sijil pengitirafan kepada para peguam sukarela ini supaya mereka boleh bergerak bebas di dalam mengaktikan program ini. Namun harus saya ingat janganlah sijil ini dianggap sebagai satu lesen terhad kepada para peguam ini sahaja, program ini mestilah sentiasa mengalu-alukan penyertaan baru peguam-peguam sukarela dengan mudah.
  • Pendaftaran baru para peguam boleh dibuat secara online, jika pihak Jabatan bersedia demi memudahkan para peguam mendaftarkan diri malahan sijil juga boleh dikeluarkan secara online. Maklumat peribadai peguam dan kawasan mereka beramal atau kawasan kariah masjid yang mereka berhasrat untuk berbakti boleh dikumpulkan melalui borang / pendaftaran online ini.
  • Sekadar cadangan tambahan: mungkin juga borang temujanji yang disebut tadi boleh diisi atau dimuat turun melalui online juga.

Faedah-Faedah Program ini

  1. Pertama-tamanya program ini akan menambah satu lagi aktiviti di masjid.
  2. Program ini saya harap dapat membawa masyarakat kepada masjid.
  3. Program ini tidak melibatkan kos kerana ianya dibuat atas dasar sukarela.
  4. Orang yang datang ke masjid selama ini hanya untuk bersembahyang akan dapat berfikir untuk ke masjid dan hatinya sentiasa ada di masjid, kerana kini melalui program ini, masjid akan menjadi tempat masyaratkat mengadu masalah harian, perniagaan atau sebagainya.
  5. Masalah yang dibawa kepada peguam dalam keadaan bersantai lebih mudah dibincang dan mencari penyelesaian.
  6. Dengan program ini saya berharap, bagi mereka yang mempunyai masalah perundangan dapat datang ke masjid mencari ketenangan disamping diberi khidmat nasihat, pada dasarnya kembali kepada Allah dalam mencari penyelesaian segala permasalahan duniawi.
  7. Jika seseorang ingin mendapatkan perkhidmatan peguam walaupun cuma untuk nasihat, mereka mungkin terpaksa menanggung kos guaman yang tinggi dan melalui program sukarela ini ianya percuma.
  8. Pada masa ini, kita atau masyarakat setempat mungkin tidak pernah ambil tahu tentang jiran tetangga masing-masing hatta jika adanya seorang dua peguam yang tinggal di kawasan mereka pun mereka mungkin tidak mengetahui. Dengan program ini mereka akan dapat lebih mengenali jiran tetangga masing-masing termasuklah para peguam setempat.
  9. Sebagai peguam saya akui bahawa, kami sangat sibuk dengan urusan pekerjaan yang tidak pernah habis. Dengan program ini para peguam yang menyertai boleh dengan sendirinya hadir dan menyertai jemaah masjid dan membantu merapatkan diri para peguam muslim ke rumah Allah.
  10. Saya fikir melalui program ini juga, sudah sampai masanya para peguam setempat berkhidmat kembali kepada masyarat sekelilingnya yang telah secara tidak langsung membantu kariernya selama ini.
  11. Secara jujur saya nyatakan bahawa program dapat membantu perniagaan peguam itu sendiri secara tidak langsung, dengan memberi lebih banyak khidmat nasihat percuma seperti ini maka seseorang peguam itu lebih dikenali di kalangan masyarakatnya dan ini adalah baik, tambahan pula untuk peguam muslim.
  12. Program ini boleh menggalakkan para peguam muslim yang baru beramal untuk membuka firma sendiri seterusnya merancakkan ekonomi orang Islam setempat. Mereka yang menyertai program ini seharusnya sedar bahawa pasaran perkhidmatan mereka adalah sebenarnya di kawasan sekitar mereka sendiri maka mereka boleh terus berkhidmat kepada masyarakat mereka.
  13. Program ini boleh diteruskan sehingga keseluruh Malaysia, bayangkan jika setiap kariah masjid mempunyai para peguam masing-masing menasihati masyarakat setempat, maka rakyat Malaysia akan lebih berpengetahuan dan mempunyai standard kehidupan yang baik.
  14. Program ini jika berjaya boleh diteruskan didalam bidang-bidang yang lain seperti perubatan dan lain-lain.

Penutup

Sebagai penutup, saya mendapat idea ini setelah mendengar khutbah Jumaat pada 11-7-2008 yang lepas di salah sebuah masjid di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkenaan gesaan memakmurkan masjid, saya lihat disekeliling saya amat ramai umat Islam bersama-sama bersembahyang, lantas saya berfikir kepada diri saya sendiri bahawa alangkah rugi umat Islam di Malaysia ini yang begitu ramai tetapi tidak menggunakan segala kelebihan yang Tuhan berikan kepada kita. Kita mempunyai ramai peguam muslim, banyak masjid dan muslim di Malaysia antara yang terbaik di dunia dari pelbagai sudut termasuklah ekonomi. Namun kita masih memandang rendah potensi kekuatan umat muslim kita sendiri, dan membiarkan orang bukan Islam mengambil kesempatan ke atas kita. Insyallah program ini dengan penambahbaikan idea lagi di pihak Jabatan boleh dilaksanakan dengan jayanya.

Harapan saya masyarakat setempat dan para peguam muslim akan bersama-sama mendapat mafaat daripada program ini.

Sekian.

Yang benar,

Kamarul Irzuan Bin Hj. Busu Piah

Peguambela & Peguamcara

Mahkamah Tinggi Malaya.

Comments

  1. Very good suggestion ...Semoga dipermudahkan Allah dalam segala urusan saudara.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Small Claim Court: Do-It-Yourself (DIY)

Non Muslim Divorce Proceeding-brief email question & answer

Temporary Occupation of Land