AKTA KESALAHAN KESELAMATAN (LANGKAH-LANGKAH KHAS) 2012



picture taken from www.malaysiaharmoni.com



ARAHAN AMALAN BIL 1 TAHUN 2013
AKTA KESALAHAN KESELAMATAN (LANGKAH-LANGKAH KHAS) 2012

Sebagaimana YA/Dato’/Datin/Tuan/Puan sedia maklum Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747) telahpun diluluskan oleh Parlimen dan telah berkuat kuasa pada 31 Julai 2012.
Sehubungan dengan itu atas arahan YAA Ketua Hakim Negara, bagi tujuan penyeragaman pengendalian kes-kes di bawah Akta 747, perkara-perkara berikut telah ditetapkan:

(1)        Dua (2) orang hakim di Mahkamah Tinggi Malaya dan dua (2) orang hakim di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak akan dilantik khusus untuk membicarakan kes-kes di bawah Akta ini. Hakim-hakim ini akan membicarakan kes-kes di bawah Akta ini mengikut di mana kes tersebut didaftarkan.

(2)        Bagi melicinkan perjalanan kes di bawah Akta ini dua (2) Prinsipal Registri akan diadakan iaitu, satu (1) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi Mahkamah Tinggi Malaya dan satu (1) lagi di Mahkamah Tinggi Kuching bagi Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

(3)        Setiap Prinsipal Registri ini akan diketuai oleh seorang Timbalan Pendaftar/Penolong Kanan Pendaftar. Timbalan Pendaftar/Penolongn Kanan Pendaftar ini akan menguruskan perkara-perkara pentadbiran kes tersebut, bagi Mahkamah-Mahkamah Tinggi di Malaya dan di Mahkamah-Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak mengikut bidang kuasa masing-masing. Satu Buku Kausa Daftar Khas bagi kes-kes yang dibicarakan di bawah Akta ini hendaklah dibuka.

(4)        Mahkamah Tinggi di mana kes itu didaftarkan hendaklah memaklumkan kepada Timbalan Pendaftar/Penolong Kanan Pendaftar di Prinsipal Registri dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh kes tersebut didaftarkan. Timbalan Pendaftar/Penolong Kanan Pendaftar di Prinsipal Registri hendaklah mengambil tindakan segera memaklumkan kepada hakim mahkamah tinggi yang telah dilantik secara khusus untuk membicarakan kes-kes di bawah Akta ini untuk mendapatkan arahan selanjutnya. Prinsipal Registri dan mahkamah tinggi di mana kes didaftarkan hendaklah bekerjasama dalam menguruskan perkara-perkara pentadbiran kes.
(5)        Bagi permohonan di hadapan hakim mahkamah sesyen iaitu untuk memasang peranti pengawasan elektronik dan merekod apa-apa pengakuan salah orang yang ditangkap, masing-masing di bawah seksyen 7 dan 27 Akta ini, ia hendaklah didengar di hadapan mana-mana hakim mahkamah sesyen yang mempunyai had bidang kuasa. Penolong Pendaftar di mahkamah berkenaan hendaklah bertanggungjawab untuk membuka satu Buku Kausa Daftar Khas bagi kes di bawah Akta ini.

(6)        Permohonan yang didaftarkan di hadapan hakim mahkamah sesyen hendaklah didengar dengan seberapa segera yang mungkin oleh hakim mahkamah sesyen berkenaan. Mahkamah tinggi di mana kes tersebut didaftarkan hendaklah memaklumkan kepada Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen jika kes tersebut telah didaftarkan di mahkamah tinggi. Mahkamah sesyen yang berkenaan hendaklah menyerahkan dokumen-dokumen tersebut ke mahkamah tinggi yang akan membicarakan kes tersebut dengan segera.

(7)        Kes-kes di bawah Akta ini hendaklah didaftarkan dengan kod khas iaitu kod 45SO bagi mahkamah tinggi dan 64SO bagi mahkamah sesyen.

(8)        Arahan Amalan ini berkuat kuasa mulai 1 Mac 2013.

info taken from Malaysian Bar Council, please visit www.malaysianbar.org.my for more info.

Comments

Popular posts from this blog

Small Claim Court: Do-It-Yourself (DIY)

Non Muslim Divorce Proceeding-brief email question & answer

Temporary Occupation of Land