Perlancaran Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri telah dipertanggungjawab untuk menganjurkan Majlis Pelancaran Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang akan disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada ketentuan seperti berikut:

Tarikh   :  25 Februari 2011(Jumaat)

 Masa    :  9.30 pagi

Tempat:  Dewan B, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)       

 

Penubuhan YBGK telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 3 Mac 2010. Tujuan penubuhan YBGK adalah untuk memberi bantuan dan nasihat guaman dalam kes jenayah kepada golongan yang kurang berkemampuan supaya mendapat akses kepada keadilan dengan sewajarnya.

YBGK kini telah didaftarkan sebagai sebuah syarikat khairat (charitable company) pada 24 Januari 2011 dan Kerajaan telahpun bersetuju untuk menyumbangkan geran bernilai RM5 juta kepada Yayasan ini manakala Majlis Peguam Malaysia pula sebanyak RM250,000 sebagai sumbangan permulaan.

YBGK dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Peguam Negara dengan Tuan Ragunath Kesavan, Presiden Majlis Peguam Malaysia selaku Timbalan Pengerusi. Setiausaha Syarikat ialah Firma Shearn Delamore & Co. Ahli-ahli Lembaga Pengarah YBGK pula terdiri daripada Ketua Setiausaha Perbendaharan, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Udang-Undang, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman, Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah, Presiden Persatuan Peguam Bela Sarawak dan Dekan Fakulti Undang-Undang daripad Universiti Kebangsaan Malaysia.

YBGK akan memberi bantuan guaman dan khidmat nasihat dalam perkara jenayah kepada mana-mana warganegara Malaysia yang memerlukan bantuan guaman di peringkat tangkapan, reman/tahanan dan permohonan ikat jamin. Bantuan guaman bagi peringkat perbicaraan di mahkamah adalah untuk mereka yang berpendapatan:-

(a) tidak lebih daripada RM25,000 setahun; atau

(b) melebihi RM25,000 setahun tetapi tidak melebihi RM36,000 setahun dengan dikenakan bayaran tertentu yang akan ditetapkan oleh YBGK.

Semua jenis kesalahan jenayah layak dibantu kecuali kesalahan yang membawa hukuman mati. Kesalahan yang membawa hukuman mati tidak akan diliputi oleh YBGK pada masa ini kerana mahkamah telah menyediakan perkhidmatan peguam yang dilantik oleh mahkamah (assigned counsel) kepada tertuduh dalam kes sedemikian.

 Source: http://bheuu.gov.my/


Sent from Kamarul Irzuan's iPhone

Comments

Popular posts from this blog

Small Claim Court: Do-It-Yourself (DIY)

Non Muslim Divorce Proceeding-brief email question & answer

Temporary Occupation of Land